Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan staf kejurulatihan pasukan kebangsaan yang akan diketuai oleh Kim Pan-gon dan bakal dibantu oleh bekas jurulatih skuad B-19 tahun Barcelona, Pau Marti Vicente.

Setelah diperkenalkan secara rasmi, Pau Marti nyata teruja untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan dan menganggap tugasan bersama pasukan negara adalah satu penghormatan bagi dirinya.

“Babak baharu, pengembaraan baharu. Saya amat gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia bersama Kim Pan-gon dan rakan-rakan yang lain.

“Kami akan memberikan yang terbaik agar rakyat Malaysia berbangga dengan pasukan kebangsaan mereka,” kata Pau Marti Vicente.

Selain Pau Marti sebagai penolong, jurulatih lain yang dibawa oleh Pan-gon ialah Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara itu, seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan Gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calonnya.

Pau Marti Vicente
Sumber Gambar: FAM

“Saya sudah biasa dengan projek F30 untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Dan saya amat sedar bahawa kita mempunyai matlamat untuk menjangkaui tahap Asia Tenggara. Matlamat inilah yang saya dan pasukan saya ini berada di sini untuk mencapainya. Saya berjanji bahawa saya dan pasukan saya ini akan cuba sedaya upaya untuk membawa pasukan kebangsaan Malaysia ke peringkat seterusnya. Saya percaya pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai potensi yang besar.

“Saya berharap agar barisan kejurulatihan ini diberi masa untuk kami membina asas kukuh terlebih dahulu dan bergerak ke hadapan ke arah matlamat kami dengan memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar.

“Seperti yang saya tahu bahawa moto negara Malaysia ialah “perpaduan adalah kekuatan”. Saya percaya jika semua boleh bersatu bersama-sama kami dengan sokongan dan kepercayaan anda semua, kita akan berjaya untuk mencapai matlamat kita,” kata Pan-gon.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Negeri Sembilan Julang Piala Pertama Untuk Musim 2022

Kim Pan Gon Perkenalkan Barisan Kejurulatihan Harimau Malaya, Pembantu Jurulatih Tempatan Masih Misteri.

Piala AFF B-23: Demi Semangat Kesukanan, Malaysia Akan Menentang Laos Dua Kali